www.artismelayu.net    Laman Utama    Forum Artis

Arrora Salwa sudah jumpa 'Ahmad'

22 Sep – Selepas rumah tangga yang dibinanya berakhir tahun lepas, penyanyi yang hit dengan lagu "Ahmad", Arrora Salwa, 26, tampil mendedahkan yang dia sudah bertemu "Ahmad" yang dicarinya selama ini

Tanpa berselindung, bekas polis ini mengakui dia kini masih di peringkat awal perkenalan dengan salah seorang ahli kumpulan Max 24:7, Alloi atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Shaari.

Saya lebih selesa mengakui yang kami berkawan rapat sekarang, tapi kalau boleh saya tidak ingin bercerita lebih memandangkan kebiasaannya di awal perkenalan, semua yang dilihat indah. Jadi biarlah kami bersikap low profil.

Arrora merasakan Alloi, 25, menepati ciri-ciri lelaki idamannya. Bahkan segala kriteria yang terdapat dalam lagu "Ahmad" ada pada diri jejaka yang juga duda kepada dua cahaya mata. Malah, kehadiran Alloi dirasakan seakan membawa perubahan besar pada dirinya, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana lelaki meskipun melalui perkahwinannnya sebelum ini.

Saya ini sebetulnya seorang yang garang dan panas baran. Namun alhamdulillah selepas kenal baik dengan Alloi, dia dapat mengubah peribadi saya kepada seorang yang lebih baik. Saya masih ingat nasihatnya agar jadi seorang yang cantik dengan memiliki hati yang 'cantik'. Walaupun agak menyakitkan, kata-katanya itu ada benarnya juga. Itu yang membuatkan saya yakin, dialah "Ahmad" yang dicari.

Tambah Arrora lagi, sepanjang perkenalannya dengan beberapa teman rakan lelaki sebelum ini sering mendapat komen negatif daripada keluarganya. Berbeza dengan Alloi pula, jejaka itu amat disenangi oleh kaum keluarganya yang menyifatkan Alloi seorang yang sangat menghormati orang tua.

Belum bersedia nak kahwin

Meskipun kedua-dua pihak keluarga sudah memberi 'lampu hijau' merestui perhubungan mereka, Arrora walaubagaimanapun enggan bercerita soal jodoh buat sementara ini dan belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi.

Malah Arrora turut menetapkan syarat terhadap Alloi agar hubungan mereka diberi tempoh masa lima tahun terlebih dahulu sebelum hubungan diakhiri dengan alam perkahwinan. Ini kerana Arrora ingin Alloi cari apa yang dimahukannya selama ini, mencapai cita-cita yang diimpikannya. Begitu juga dengannya yang ingin mengukuhkan namanya di persada seni suara tanahair selain tidak ingin dilabel 'hangat-hangat tahi ayam'.

Berita oleh Rasshylah Rashid dari Cinema Online – Thu, Sep 22, 2011

Arrora SalwaArrora Salwa

Arrora Salwa nafi yang dia janda