www.artismelayu.net    Forum Artis


Aziz M.Osman - Nur Aliah Lee
Bercerai

PETALING JAYA: Sah. Pengarah filem terkenal, Aziz M Osman, 45, mengakhiri perkahwinannya selama 15 tahun dengan menceraikan isterinya, pelakon Nur Aliah Lee Abdullah atau Vee, 33, dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini, minggu lalu.

Pengesahan lafaz cerai kali kedua itu diputuskan Hakim Syarie Ghazali Ahmad, sekali gus menjawab desas-desus mengenai pergolakan rumah tangga pasangan itu, bulan lalu. Ghazali dalam penghakimannya sebelum ini memutuskan lafaz cerai kali pertama dibuat Aziz terhadap Nur Aliah pada 18 Mac lalu, kira-kira jam 10 malam di rumah mereka di Damansara, dekat sini, adalah tidak sah. Ini kerana lafaz cerai pertama terhadap responden itu dibuat di luar dan tanpa izin mahkamah. Aziz kemudian memfailkan pendaftaran perceraian dengan isterinya pada 15 Mei lalu dan mahkamah menetapkan 28 Mei lalu untuk pengesahan lafaz cerai kedua. Aziz melafazkan cerai talak satu terhadap Nur Aliah di hadapan Ghazali pada 28 Mei, namun tiada sebarang sebab dinyatakan dalam afidavit perceraian yang difailkan itu. Aziz memfailkan permohonan cerai itu melalui tetuan Amri & Associate mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor.

Difahamkan, kes itu sudah selesai dan Aziz dan Nur Aliah kini hanya menunggu sebarang perintah selanjutnya daripada mahkamah, termasuk berhubung soal pembayaran nafkah edah dan nafkah anak.

Keretakan rumah tangga Aziz dengan Nur Aliah hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini, termasuk laporan sebuah akhbar tabloid mendakwa Aziz dan Vee bukan lagi pasangan suami isteri atau sudah bercerai.

Perkahwinan
Aziz dan Nur Aliah berkahwin pada 19 Januari 1992 dan dikurniakan empat anak, Puteri Asyiqin, 14, Putera Nur Iman, 12, Puteri Nur Aisya, 9, dan Puteri Nur Ain, 6. Nur Aliah ialah isteri kedua Aziz M.Osman. Dia pernah berkahwin sebelumnya dan mempunyai seorang anak perempuan iaitu Puteri Nurul Fatehah, 19 tahun.