ArtisMelayu.net    Home  |  Link laman Artis  |  Forum Artis  |  Webmaster

Eja hanya ditawarkan belian kredit tambahan RM1,500

UTUSAN MALAYSIA, KUALA LUMPUR 9 Sept. - Pengurus kepada pelakon Eja, Mohd. Silahuddin Jamaluddin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa syarikat Gulatis Exclusive Sdn. Bhd. (Gulatis) hanya menawarkan ganjaran belian kredit tambahan RM1,500 bagi pengunaan gambar Eja di papan iklan, poster dan banner. Beliau yang memberi keterangan sebagai saksi kedua defendan berkata, jumlah tersebut ditawarkan oleh Gulatis melalui surat bertarikh 18 Oktober 2005 selepas pihaknya menolak tawaran Gulatis yang dihantar melalui faks pada 9 Julai 2005.

"Selepas berunding dengan Eja berikutan tawaran baru melalui faks pada 9 Julai, saya balas pada 29 Julai 2005 menjelaskan bahawa tawaran itu tidak dapat kami setujui. Dalam surat itu juga dimaklumkan apa jumlah yang kami rasa patut dibayar kepada Eja. Maksudnya, saya mahu pihak Gulatis mengikut perjanjian asal iaitu gambar Eja hanya untuk borang peraduan. Sebaliknya mereka hantar surat pada 18 Ogos dan memaklumkan ganjaran kredit belian untuk Eja dinaikkan dari RM1,500 kepada RM3,000," katanya.

Dalam kes ini, Eja atau nama sebenar Siti Sharizah Saifuddin, 36, yang bertindak sebagai plaintif menyaman Gulatis bagi menuntut ganti rugi RM240,000 atas dakwaan syarikat itu mengingkari perjanjian lisan apabila menggunakan gambarnya pada papan iklan, poster dan banner.

Menurut Mohd. Silahuddin, 45, penggunaan gambar Eja tanpa mengikut syarat perjanjian asal diketahui apabila adiknya menelefon memberitahu gambar Eja terpampang di sekitar ibu kota. Bagi mengesahkan perkara tersebut, beliau telah berkunjung ke Gulatis cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Ampang Point serta merakamkan gambar -gambar Eja yang digunakan oleh syarikat tersebut. Apabila dihubungi, Pegawai Perhubungan Awam Gulatis, Jasleen Kaur memberitahu pihaknya mengambil keputusan menggunakan gambar Eja tanpa kebenaran sebagai usaha menggalakkan lagi sambutan bagi peraduan Guess Who and Win.

"Saya telefon dan bertanya kenapa gambar-gambar Eja di paparkan di papan iklan, poster dan banner sedangkan perjanjian tidak ada. Saya kata ini tidak adil. Jadi mereka kata akan keluarkan satu surat tawaran baru," katanya lagi. Menurut saksi, Gulatis terus menggunakan gambar Eja tanpa kebenaran walau pihaknya telah menolak tawaran baru yang dianggap terlalu kecil berbanding dengan jumlah yang sepatutnya diperolehi Eja berdasarkan kontrak-kontrak periklanan sebelum itu. Katanya, Eja turut menerima khidmat pesanan ringkas daripada adik angkatnya mengatakan defendan turut menggunakan gambar Eja di cawangan baru Gulatis di Shah Alam City Centre Mall (SACC) seolah-olah pelakon itu merupakan jurucakap bagi syarikat tersebut. Berikutan tindakan Gulatis, katanya, Eja tidak mendapat sebarang kontrak periklanan yang dianggarkan berjumlah RM240,000 dalam masa dua tahun.

Dalam perbicaraan hari ini, Eja diwakili peguam R. Thayakugan dan Aida Hasan, manakala Gulatis diwakili peguam Rejinder Singh. Perbicaraan di hadapan Hakim Madihah Harullah bersambung 12 November ini.


EJA (tengah) bersama Mohd. Silahuddin Jamaluddin (kiri) dan Santa Halina Mohd. Ishak hadir ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta, semalam.


Eja. Lawa tak?


ArtisMelayu.net    Home  |  Link laman Artis  |  Forum Artis  |  Webmaster