|
Pelakon Ezany Nizariff kata sambutan Hari Raya pada tahun ini membawa seribu satu makna buat dirinya dan isteri Lizda Nuryanti Abidin apabila penantian selama lima tahun untuk mendapat anak termakbul dengan kelahiran anak sulung mereka, Rayyan Hariz yang kini berusia tiga bulan. Kata Ezany, keterujaan untuk meraikan lebaran tahun ini sebagai seorang bapa sudah membuak-buak apabila dia sudah menyiapkan pakaian Hari Raya mereka anak-beranak yang bertemakan warna emas sejak awal lagi.
"Maklumlah, ini kali pertama saya dan isteri akan beraya sebagai ibu dan bapa, tentulah kami berkobar-kobar untuk menyiapkan segala kelengkapan sebaik yang mungkin. Tahun ini kami memilih tema warna emas dan saya sudah membelikan anak saya beberapa pasang pakaian sejak awal lagi," kata Ezany.
Sebagai tanda kesyukuran di atas kelahiran anaknya itu, Ezany juga mengadakan majlis makan secara besar-besaran untuk seluruh ahli keluarganya pada minggu pertama Hari Raya.
Sep 2011
|