www.artismelayu.net | muka depan | forum artis


Penjelasan Farah tentang gambar intim

22 Jan - "Memang itu gambar saya," kata Farah Asyikin Othman, usahanita yang baru diceraikan oleh penyanyi Hattan. Tapi kata Farah gambar yang tersebar di internet itu bukan punca mereka bercerai. Sebaliknya kata Farah mereka berdua memang tak ada persefahaman dan jalan yang terbaik adalah berpisah.

Mahligai syahdu yang singkat usia

Farah dan Hattan berkahwin pada tarikh cantik 11.11.11 namun realiti sebenar perkahwinan mereka tidak secantik angka tersebut. Mahligai mereka cuma bertahan dua bulan. Malah pelbagai spekulasi tersebar mengenai perceraian mereka hanya seminggu setelah mereka bernikah. Pada masa gosip-gosip itu tersebar, Hattan menafikan sekeras-kerasnya yang mereka telah berpisah, malah menyifatkannya sekadar gosip kerana mereka berdua adalah pasangan bahagia.

Sayangnya, rumah tangga yang dibina atas dasar cinta yang diharapkan akan berkekalan sehingga hujung nyawa, akhirnya musnah di pertengahan jalan apabila mereka disahkan bercerai dengan talak satu pada minggu kedua 2012 iaitu 12 Januari lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Penceraian punca pembongkaran

Apabila berlaku perceraian mendadak maka logiklah timbul pelbagai tanda tanya dan spekulasi. Orang ramai, blogger dan wartawan mula meninjau, menyelidik dan mengorek apa punca sebenar perpecahan mahligai bahagia Hattan dan Farah.

Korek punya korek akhirnya terbongkar cerita-cerita tentang kehidupan sosial Farah sebelum ini dan gambar intimnya di atas katil dengan lelaki Cina. Antara cerita yang tersebar tentang Farah melalui sebuah blog ialah dia tidak bayar hutang orang, dan pernah gugurkan kandungan hasil dari hubungan sulit dengan mat saleh. Dahsyat tu.

Gambar intim bukan punca cerai

“Memang benar itu gambar saya. Tapi bukan sebab gambar tu saya bercerai dengan Hattan. Saya tahu ramai yang percaya dan (oleh itu) sudah tiba masanya untuk saya menjelaskan perkara yang sebenar. Itu ialah gambar peribadi saya yang diambil lebih kurang lima tahun lalu. Kenapa setelah saya kahwin ada orang nak sebarkan gambar tu?"

"Saya ada maruah dan keluarga. Bila tersebar gambar berkenaan memang saya malu dan reputasi saya jatuh. Orang tak tahu apa yang terjadi. Orang dengar dan orang percaya bulat-bulat. Lagi satu saya bukan artis! Saya hanya orang biasa dan tak sepatutnya mereka siarkan gambar berkenaan. Itu cukup mengaibkan saya,” kata Farah Asyikin, yang kini kembali menjadi ibu tunggal kepada dua orang anak.

Sedih dengan perceraian

Menurut Farah, walaupun dia redha dengan apa yang berlaku namun dia tetap sedih dengan perceraian itu. Namun dia optimis dengan perjalanan hidup. Dia nak orang tahu yang dia tak menyesal berkahwin dengan Hattan. Bagi Farah biarpun banyak dugaan yang datang namun dia yakin ada hikmah di sebaliknya.

Cuma yang dia kesal ialah bila ada yang menjaja cerita dia diceraikan talak tiga di awal perkahwinan dulu. Kata Farah itu memang satu berita yang tak benar dan sangat mengaibkan. Kata Farah lagi sama ada suka atau tidak dia kena terima penceraian itu dan sekarang ini dia hanya mahu memberi tumpuan kepada bisnesnya.

Blog kena godam jadi punca

Kata Farah pembongkaran kisah-kisah peribadinya masa silam berpunca daripada penggodam yang telah membuat onar terhadap e-mel peribadi dan blog peribadinya. Perkara ini bukan baru berlaku sebaliknya semenjak pertengahan tahun 2010 lagi Farah menjadi mangsa digodam yang akhirnya mengaibkan dirinya.

Farah kata dia pernah buat laporan polis pada September 2010 dan berita mengenai laporan polis itu pernah tersiar di sebuah akhbar berbahasa Inggeris. Farah kata dia tak tahu siapa punya kerja. Tapi mereka godam e-mel Farah, tambah kandungan termasuk dalam blog dan hantar pada semua kenalan untuk mengaibkan dirinya.

Selepas mengahwini penyanyi Hattan, kejadian tersebut berulang malah Hattan itu pernah menemani Farah membuat laporan polis sekali lagi sebelum mereka berlepas ke London pada Disember lalu.

Seorang usahanita

Farah ialah pemilik Into Equity Sdn. Bhd. Melalui syarikatnya itu, Farah merupakan ahli perniagaan hartanah dan pendidikan kanak-kanak yang beroperasi di London, Itali dan Hong Kong. Selain terbabit dengan bisnes luar negara, Farah juga merupakan pembekal barangan hotel terkemuka di Kota Kinabalu dan membekal peralatan kepada Kementerian Kesihatan. Bisnes yang telah diusahakan sejak beberapa tahun lalu cukup membuatkan dirinya terkenal dalam bidang perniagaan dan sudah pasti dia terkesan dengan kemelut tak berkesudahan yang akan menjejaskan perniagaannya.

Mahu bersihkan nama

“Saya orang bisnes dan saya tahu dengan penyebaran gambar itu akan menjejaskan reputasi saya. Kalau dengan pelanggan luar negara tak ada masalah tetapi bagaimana dengan pelanggan dalam negara? Mahu atau tidak saya kena membersihkan maruah saya yang tercalar. Lepas ni saya akan ke Hong Kong untuk urusan perniagaan. Bila balik nanti saya mahu membersihkan nama saya. Saya sudah berbincang dengan peguam saya untuk mengambil tindakan terhadap beberapa blog hiburan yang menyiarkan gambar saya,” kata Farah lagi.


Farah
Farah report polis

Farah
Hattan dan Farah, dulu.

Hattan, Farah bercerai akhirnya

Gambar-gambar Farah Asyikin Othman

January 2012. Sumber berita KOSMO!, Utusan. Photo credit to KOSMO! Utusan.