|
Fasha tidak akan sorok hal kahwin
20 Dec - Pelakon Fasha Sandha kata dia akan mengumumkan tentang perkahwinannya apabila tiba waktu yang sesuai nanti. Gosip Fasha Sandha nak kahwin muncul semula apabila beberapa keping gambar dirinya yang sedang mencuba gaun pengantin sudah tersebar di internet. Terdapat juga gosip tentang Fasha dan kekasihnya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli (Jejai) dikatakan memilih Jakarta, Indonesia sebagai lokasi untuk memeterai cinta mereka pada bulan Februari depan.
“Apa yang boleh saya katakan, saya tidak mahu menjaja cerita tentang perkahwinan saya berlebih-lebihan selagi masanya belum tiba. Ini adalah tentang soal jodoh. Kita sendiri tidak tahu apa yang bakal terjadi di kemudian hari. Seandainya saya terus mencanang tentang cerita kahwin saya tetapi jika ada sesuatu yang terjadi, saya juga yang akan menanggung akibatnya. Jadi, adalah lebih baik untuk saya menunggu masa yang sesuai untuk menghebahkan kepada umum. Saya sama sekali tidak akan menyorokkan hal perkahwinan saya kepada umum. Itu janji saya,” kata Fasha.
Tak mungkin kahwin Februari depan Tentang perkahwinan yang akan berlangsung pada bulan Februari pula, Fasha dengan pantas memberitahu perkara itu tidak mungkin akan berlaku. Ini kerana katanya, ketika itu dia akan berada di Paris, Perancis selama 10 hari bagi menyempurnakan penggambaran drama bersiri terbaru lakonannya, Seindah Sakura bersama Fahrin Ahmad.
“Seperti mana yang saya jelaskan tadi, saya tidak akan sesekali menyorokkan perkahwinan saya dan saya akan pastikan semua media akan mendapat berita itu dengan adil dan saksama. Itu juga antara faktor mengapa saya tidak mahu menceritakan lebih lanjut tentang perkahwinan saya kerana tidak mahu ada yang berkecil hati. Bagaimanakah caranya untuk saya membuat pengumuman nanti, semuanya masih belum saya fikirkan. Doakan yang terbaik untuk saya,” kata Fasha lagi.
Sudah lama bersedia kahwin “Saya memang sudah lama bersedia. Apabila sudah bergelar isteri nanti, saya mahu menjaga rumah tangga, fokus kepada keluarga dan perniagaan. Kalau berlakon pun, saya akan memilih projek yang terbaik sahaja. Dalam konteks ini, saya mengagumi dan mahu menjadi seperti Datin Sofia Jane yang bijak membahagikan masanya untuk keluarga dan kerjaya seni,” kata Fasha.
|