www.artismelayu.net | muka depan | forum artis | |||
|
Penyanyi Khairil Izwan Pilus meninggal dunia pada kira-kira pukul 6.15 petang Jumaat 20/1/12 di Hospital Ampang. Allahyarham berumur 33 semasa menghembuskan nafas terakhir. Menurut pihak hospital, punca kematian ialah jangkitan kuman dalam darah dan terkena virus kencing tikus yang serius.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Palembang Gubah di Jasin, Melaka pada pukul 11 pagi Sabtu. Khairil Izwan Pilus ialah finalis Bintang RTM 2004, finalis Anugerah Bintang Popular BH 2006, finalis AIM ke-14. Allahyarham menghasilkan sebuah album “Erti Kasih” yang memuatkan lagu “Kembali Senyum”, sebuah lagu saduran yang dipetik daripada drama “Full House” dari Korea Selatan. Allahyarham juga aktif menjadi pengacara untuk beberapa program terbitan RTM. Allahyarham ialah anak kedua dari empat beradik. Penyanyi Aril iaitu finalis Akademi Fantasia 7 ialah adik Allahyarham. Menurut Aril, Allahyarham seorang yang selalu membantu keluarga ketika dalam kesusahan dan bersifat pelindung (protective). Allahyarham juga bijak menguruskan hal keluarga. Mereka pernah merancang untuk menghasilkan album bersama namun nampaknya impian tersebut tak kan kesampaian. Semasa di hospital, lebih dari 100 orang anggota keluarga, kenalan dan rakan artis memenuhi kawasan rumah mayat untuk melihat Allahyarham buat kali terakhir. Antaranya ialah Farhan (AF) yang sempat berkenalan dengan Allahyarham semasa mereka menyertai Bintang RTM 2004. Artis lain yang kelihatan pada hari itu ialah Kencana Devi (Suria FM), Farawahida, Zed Zaidi, AKim (AF), Hafiz (AF), Azza Elite dan Roslan Shah. .. | ||
Sumber berita: semua akhbar. |