| ArtisMelayu.net | Home | Link laman Artis | Forum Artis | Webmaster |
| Pasangan pertama Akademi Fantasi yang berakhir di jinjang pelamin. Bercinta lima tahun, bertunang dua jam. Rosma & Khai Sah Menjadi Suami Isteri![]() ![]() PUTRAJAYA, 26 APRIL 2008: Penyanyi lagu 'Dambaan Pilu', Mohd Khairul Nizam Mohammad Wahi, 29, atau Khai dan pasangannya, Rosmayati Sidik, 23 atau Rosma kini sah menjadi suami isteri. Perkahwinan ini melengkapkan hubungan cinta lima tahun mereka. Mereka dinikahkan dengan mas kahwin RM100 oleh jurunikah Masjid Putra, Putrajaya setelah diwakilkan oleh bapa Rosma, Sidik Abu Bakar, tepat pukul 11.55 pagi selepas dua jam ditunangkan pada majlis yang sama. Jurunikah mereka ialah Haji Abdul Manaf Mat yang sebelum ini pernah menikahkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Majlis persandingan pasangan diadakan esoknya pada 27 April 2008 di Dewan Persidangan Putrajaya berkonsepkan moden kontemporari. Khai datang membawa sembilan dulang hantaran bersama wang hantaran RM16,161.61 beserta sirih junjung, tas tangan jenama Guess, kasut, sejadah, telekung dan senaskhah al-Quran. Rosma pula membalas dengan sebelah dulang hantaran berupa kek, sirih junjung, minyak wangi, kasut dan tali pinggang, puding, sejadah, coklat dan senaskhah al-Quran. Kesemua hiasan hantaran ini adalah hasil kreatif sentuhan ibu pengurus mereka, Fizi. Bercinta 5 tahun Bertunang hanya 2 jam Rosma menjelaskan: “Kami terlalu sibuk dan tiada pilihan untuk memilih tarikh bertunang. Jadi, kami sepakat untuk memilih hari yang sama untuk bertunang. Sebenarnya, kami rancang berkahwin pada tahun lepas tetapi disebabkan komitmen terhadap kerjaya kami terpaksa tangguhkan seketika. Lagi pun, keluarga kami sudah memberitahu, jika betul-betul sudah bersedia barulah beritahu mereka. Apa yang jelas, kami sudah 5 tahun bercinta dan takkanlah kami mahu tangguh 5 tahun lagi. Sepatutnya, kami mahu bernikah beberapa hari selepas hari lahir saya iaitu 16 April lalu tapi tarikh itu tak sesuai. Kami memilih tempat ini disebabkan keluarga kami ada yang tidak pernah datang ke Putrajaya. Jadi inilah masanya kami membawa mereka ke sini. Tak sangka pula hampir 100 sanak-saudara hadir. Semuanya datang dari Johor Bahru, Terengganu dan Pahang." Bulan Madu ditaja Mahu empat orang anak “Alhamdulillah semuanya selamat, mula-mula memang rasa berdebar tetapi bila sudah selesai akad nikah mula rasa lapang dan lega sangat. Walaupun boleh tarik nafas lega, tetapi ini merupakan permulaan untuk saya memikul tanggungjawab,” kata Khai lagi. Tambah Khai, selepas ini mereka akan menetap di kediaman Rosma di Seri Kembangan, Selangor untuk memudahkan perjalanan aktiviti seni di sekitar Kuala Lumpur. Antara artis yang turut menyerikan majlis ialah Adi Fashla, Nurul dan Sahri. Info tentang majlis perkahwinan mereka didengar melalui radio rasmi perkahwinan mereka iaitu Xfresh FM. |
| ArtisMelayu.net | Home | Link laman Artis | Forum Artis | Webmaster |