www.artismelayu.net    Laman Utama    Forum Artis

'Saya masih waras,' kata Marsha

Marsha Milan Londoh mengejutkan banyak pihak apabila dia pengsan di parkir kereta di kawasan kondominium kediamannya dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 7 September lalu atas dakwaan mengambil pil secara berlebihan. Selepas dua minggu kejadian tersebut, Marsha akhirnya berjaya ditemubual wartawan akhbar dan membuat pengakuan yang dia masih waras dan belum tergamak menelan sehingga 30 biji pil gara-gara dakwaan putus cinta. Marsha turut keliru dan terkejut bagaimana dia boleh dikaitkan dengan dakwaan cuba membunuh diri.

Saya memang baru putus cinta. Tapi kalau benar saya telah menelan 30 biji pil, saya memang sudah mati sekarang.

Menurut Marsha, pada hari kejadian itu iaitu 7 September, dia memang berada dalam keadaan yang kurang sihat. Ketika dalam perjalanan pulang daripada membeli sarapan, Marsha mengalami kemalangan kecil apabila telah terlanggar pembahagi jalan. Namun Marsha masih dapat terus memandu sehinggalah tiba di kediamannya. Kemudian ketika berada di kawasan parkir, tiba-tiba Marsha pengsan dan apabila sedar kata Marsha dia telah berada di hospital. Dia telah dimaklumkan bahawa dia telah ditemui terbaring oleh pengawal keselamatan dan terus dihantar ke hospital oleh pihak pengurusan kondominium sekitar pukul 11 pagi.

Mengapa Marsha mengambil masa yang lama untuk bertemu media dan menjelaskan isu ini?

Pertama sekali saya minta maaf kerana mengambil masa yang lama untuk menjelaskan perkara yang sebenar. Selepas kejadian, saya memerlukan masa yang lebih untuk berehat dan memang mencari masa yang sesuai untuk bertemu dan memberi kenyataan kepada pihak media. Memandangkan pihak Alibi Music ada menganjurkan rumah terbuka kelmarin, maka saya merasakan itu adalah masa yang sesuai untuk saya bertemu dengan media menjawab segala persoalan yang ditimbulkan.

Ada yang mengatakan anda telah menelan sehingga 30 biji pil. Adakah ia benar?

Saya sendiri sangat hairan bagaimana cerita tersebut boleh timbul. Memang saya akui pada malam sebelum kejadian, saya ada mengambil ubat untuk mengatasi masalah tekanan darah rendah yang saya hadapi.

Bagaimanapun saya menafikan sekeras-kerasnya yang saya telah menelan sehingga 30 biji pil sehingga dikatakan cuba untuk membunuh diri. Saya masih lagi waras dan kalau benar saya menelan pil sebanyak itu, sudah tentu saya sudah mati sekarang ini.

Adakah benar anda menelan 30 biji pil sebagai cubaan membunuh diri kerana putus cinta?

Laporan itu tidak benar sama sekali. Pada hari kejadian iaitu 7 September, pada pukul 11 pagi saya telah ditemui pengsan di parkir kereta oleh pihak pengurusan kondominium saya.

Menurut doktor, saya pengsan kerana mengalami tekanan darah rendah, bukannya kerana menelan pil secara berlebihan. Tapi pada malam sebelum kejadian, saya memang ada mengambil pil iaitu pil tekanan darah rendah, namun bukan dalam kuantiti berlebihan.

Ketika wartawan datang ke hospital untuk menziarahi anda, difahamkan ayah anda telah mengarahkan pengawal keselamatan untuk menghalang wartawan daripada bertemu dengan anda. Boleh anda komen sedikit?

Tentang perkara itu juga saya ingin memohon maaf banyak-banyak kerana ia berada di luar kawalan saya dah ahli keluarga yang lain. Pada saya, mereka sekadar menjalankan tugas untuk menjaga privasi pesakit lain dan bukanlah di atas arahan ayah saya untuk menghalang wartawan menziarahi saya.

Malah, ayah saya juga tidak dapat bertemu dengan pihak media kerana dia belum biasa untuk membuat kenyataan kepada wartawan. Sejujurnya, sepanjang saya bergelar artis memang ahli keluarga tidak pernah masuk campur dalam sebarang perjalanan karier seni saya.

Bagaimana boleh timbul isu anda cuba membunuh diri kerana putus cinta?

Saya sendiri tak tahu bagaimana boleh timbul cerita saya menelan 30 biji pil. Jika benar, pasti saya sudah mati sekarang. Saya memang baru putus cinta, tapi ia bukan punca saya pengsan pada hari kejadian. Saya masih waras untuk membuat tindakan bunuh diri seperti yang didakwa.

Jadi bagaimana perkembangan tahap kesihatan anda menurut doktor?

Doktor beritahu saya memang ada masalah tekanan darah rendah. Sekiranya selepas ini saya mengalami sebarang tekanan, ia memberi risiko kepada nyawa saya kerana masalah ini. Sekarang saya tidak mengalami tekanan, dan keadaan saya juga semakin baik. Bagaimanapun saya masih perlu membuat rawatan susulan untuk memastikan tahap kesihatan saya benar-benar stabil.

Ada pihak tertentu yang membuat tanggapan anda juga mengalami tekanan kerana putus cinta dengan bekas kekasih?

Memang benar hubungan saya dengan kekasih sudah pun berakhir, tetapi hubungan saya dan dia putus beberapa minggu sebelum kejadian saya ditemui pengsan tempoh hari. Namun, ia bukanlah punca sehingga saya mengalami tekanan kerana saya masih dapat terima hakikat yang hubungan kami berakhir.

Apakah yang menyebabkan hubungan anda berdua putus?

Kami mengambil keputusan untuk mengakhiri hubungan percintaan setelah tiada lagi keserasian antara kami. Lagipun sepanjang dua tahun kami bercinta, sudah beberapa kali hubungan kami putus, namun bersambung kembali. Cuma kali ini memang kami mengambil keputusan untuk tidak bersama lagi.

Malah, saya juga menafikan yang kami tidak dapat meneruskan hubungan ini disebabkan oleh halangan ahli keluarga yang memang berpegang kepada ajaran Kristian.

Sebenarnya keluarga saya tidak pernah menghalang hubungan kami dan bekas kekasih juga pernah menemui mereka sebelum ini.

Adakah bekas kekasih ada melawat anda di hospital?

Hubungan saya dan bekas kekasih masih lagi baik sehingga kini dan dia ada melawat saya di hospital.

Jadi sekarang ini anda tiada teman istimewa?

Buat masa ini saya boleh katakan yang sekarang ini saya masih lagi solo. Cuma ketika ini saya memang agak rapat dengan seseorang dan apa yang boleh saya katakan kami masih lagi di peringkat berkawan.

Adakah lelaki tersebut sama seperti bekas kekasih, seorang jejaka Melayu dan beragama Islam?

Saya akui dia seorang jejaka Melayu dan beragama Islam dan saya sudah lama mengenalinya sejak beberapa tahun yang lalu. Sehingga sekarang kami masih lagi berkawan seperti biasa dan masih lagi mengenali hati budi masing-masing.

Adakah anda masih tidak serik untuk bercinta dengan lelaki yang tidak sama kaum dan agama dengan anda?

Pada saya semuanya terserah pada jodoh dan saya memang mempunyai ramai kawan lelaki yang berketurunan Melayu. Lagipun keluarga juga tidak pernah menghalang untuk saya berkawan dengan sesiapa sahaja. Cuma buat masa ini saya masih belum lagi terfikir untuk mendirikan rumah tangga dan mahu lebih fokus kepada karier terlebih dahulu.

23 Sep 2011. Foto kredit to KOSMO!

Marsha AF3Marsha AF3

Berita yang heboh sebelum ini, Marsha telan 30 pil