|
Berita dalam mstar.com.my menyatakan yang bekas pelajar Akademi Fantasia 3, Marsha Milan Londoh, 28, tidak mengambil pil secara berlebihan sebagaimana yang didakwa. Sebaliknya Marsha trauma akibat kemalangan yang berlaku sebelum itu.
Seorang yang mendakwa sebagai rakan terdekat Marsha, iaitu Afeeq Abdul Wahab berkata yang Marsha dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada pagi Rabu, setelah didapati rebah di kawasan kondominium yang didiaminya di Jalan Klang.
"Saya masih belum mendapatkan penjelasan sebenar daripada Marsha sendiri tetapi difahamkan sebelum dia rebah, dia telah keluar membeli makanan berdekatan dengan kawasan kediamannya dan telah mengalami kemalangan kecil sehingga menyebabkan dahi serta matanya mempunyai kesan lebam dan luka. Marsha masih boleh memandu pulang ke rumah seperti biasa. Bagaimanapun, selepas meletakkan keretanya di kawasan parkir, dia pengsan ketika berjalan menuju rumahnya. Memandangkan Marsha turut mengalami masalah penyakit tekanan darah rendah, peristiwa itu turut memberi kesan kepadanya sehingga membuatkan dia rebah," kata Afeeq.
Marsha kini menerima rawatan di wad trauma dan kecemasan PPUM dan masih belum bersedia menerima sebarang pelawat.
Didakwa menelan 30 biji pil
Sebelum ini ada akhbar tempatan yang melaporkan yang Marsha tidak sedarkan diri di rumahnya akibat menelan sebanyak 30 biji pil. Bagaimanapun Afeeq menafikan tindakan Marsha yang kononnya mahu membunuh diri sebagaimana dilaporkan.
"Laporan yang dikeluarkan mengenai Marsha ternyata salah kerana dia bukannya jenis yang emosional sehingga ingin membunuh diri. Saya telah bertemu Marsha pagi tadi (Khamis) dan doktor meminta Marsha untuk berehat sebaik yang mungkin. Selepas dia sembuh daripada traumanya itu, dia akan membuat sidang media bagi menjelaskan isu tersebut," ujarnya.
Sep 2011
|