ArtisMelayu.net  |  Home  |  Link laman Artis  |  Forum Artis  |  Webmaster

Memey

NAMA ASAL: Suhaiza Suhaimi
NAMA ARTIS: Memey
TARIKH LAHIR: 25 Mac 1988
ASAL: Kota Tinggi, Johor, Malaysia
PENDIDIKAN: SPM
KERJAYA: Model, pengacara, pelakon
PENGACARAAN: Diari Anak Seni Musim 4 & 5
DRAMA: Rahsia Sebuah Pengorbanan, Kalau Kasih Masih Ada, Jaringan, Karipap Istimewa dan Pontianak Air Jernih.
ATLIT IDOLA
Christiano Ronaldo, Shalin Zulkifli

Gembira di meja snuker

Sebelum ini hanya bermain tanpa mengetahui peraturan sebenar permainan. TIADA lagi rasa segan dalam diri Suhaiza Suhaimi atau lebih mesra dengan panggilan Memey apabila diajak untuk bermain snuker kerana asas permainan itu sudah pun dimilikinya. Memey yang pernah beberapa kali mencuba permainan itu sebelum ini hanya sekadar bermain tanpa mengetahui peraturan sebenar permainan itu. Kesempatan yang diberikan epg dalam sesi fotografi untuk belajar bermain snuker ibarat ‘orang mengantuk disorongkan bantal’ buatnya. Memey mendapat tunjuk ajar cara permainan yang betul daripada pemilik Pandan Indah Pool & Snooker, Iskandar Abdullah. “Memey seronok diberi peluang belajar bermain snuker kerana ia satu pengalaman baru. Sebelum ini Memey sekadar mengikut rakan ke pusat snuker dan bermain secara suka-suka tanpa mengetahui syarat dan peraturan sebenar. “Lebih menggembirakan kerana Memey mendapat tunjuk ajar daripada seorang yang profesional dalam permainan ini. “Iskandar mengajar Memey langkah demi langkah cara permainan snuker, antaranya cara posisi badan iaitu kedudukan secara betul, fokus, memahami setiap warna bola. “Walaupun masanya agak singkat iaitu kira-kira sejam, banyak yang dapat dipelajari,” kata pelakon remaja berusia 19 tahun itu. Menurut pelakon yang turut mengacarakan rancangan Diari Anak Seni di RTM itu, dia seorang yang sukakan permainan bola jaring dan ketika zaman persekolahannya dia beraksi sehingga peringkat daerah dengan mewakili Kota Tinggi. Dengan memiliki susuk tubuh yang tinggi, Memey bermain sama ada di posisi pertahanan atau penyerang dan berkata, seandai diberi peluang dia mahu beraksi di Fiesta Media Idola yang akan diadakan tidak lama lagi. Katanya, setakat ini dia pernah dipelawa oleh Berita Harian untuk bermain futsal dan masih belum memberi sebarang jawapan tetapi jauh di sudut hatinya, dia berharap diberi peluang bermain bola jaring.


Memey Suhaiza

Memey Suhaiza bukan perampas

Oleh NIEZAM ABDULLAH
Utusan Malaysia, 14/09/2008

Belum pun sampai setahun melibatkan diri secara serius dalam dunia seni tetapi nama Memey Suhaiza semakin ramai diperkatakan. Mana tidaknya, kemunculan gadis ini dikatakan mampu untuk bersaing dengan beberapa pelakon popular lain seperti Fauziah Gous, Julia Ziegler ataupun Lisa Surihani. Memey atau lebih mesra dengan panggilan Mey ini mengakui dia juga bertuah kerana tidak mengambil masa yang lama untuk berada pada kedudukan hari ini. Itulah tuah namanya. Pertama kali bertemu dengan Memey saya berkata inilah rupa-rupanya gadis yang pernah dikaitkan bercinta dengan si polan si polan. Yalah, cantik, ayu wajahnya. Sebab itulah mungkin ramai yang terpikat dan tergoda terhadap raut wajahnya. Itu kata hati saya.

Sebelum ini Memey dikatakan pernah bercinta dengan pelakon Farid Kamil. Ia diakui sendiri oleh Memey tetapi beliau menolak mereka mempunyai hubungan cinta sebaliknya sekadar teman biasa. Dan terbaru dengan orang itu? Siapa? Biar kita membicarakannya nanti. Cuma apa yang dapat saya katakan mengadakan sesi fotografi dengan gadis ini tidak sesukar mana. Yalah, Mey lahir di pentas peragaan sebagai seorang peragawati. Apabila disuruh saja beraksi, tidak sukar untuk dia memperlihatkan mood wajahnya yang manis itu. Itulah kelebihan sesiapa sahaja yang membuat persediaan awal sebelum bergelar artis. Ada sesetengah bintang itu sukar hendak dibentuk posisinya. Yang mampu hanyalah tegak macam tunggul kayu. Tidak bagi Memey kerana dia boleh membuat macam-macam aksi dan dapat memenuhi setiap permintaan itu dengan baik. Saya melihat gadis ini boleh pergi jauh dalam bidang seni khususnya dalam bidang lakonan. Walaupun tidak melihat bakat lakonannya secara mendalam di kaca televisyen tetapi ramai pengarah dan penerbit filem sedang memperkatakan kemampuan lakonannya. Tetapi agak malang bagi Memey, baru setahun jagung dalam dunia seni, dia dihimpit dengan satu kontroversi hebat iaitu dituduh sebagai perosak kasih sayang orang.

Tidak menganggu rumah tangga sesiapa

Panas dan mendidih berita yang mengaitkan hubungan cinta Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi dengan pelakon Norman Hakim. Khabarnya gadis ini sudah lama menjalinkan hubungan dengan suami kepada pelakon Abby Abadi yang sedang membilang waktu untuk melahirkan anak ketiga itu. Gosip biasanya tidak akan berlaku jika tiada sumber yang memberitahu. Dan ternyata berita itu bukan sahaja mengejutkan dunia hiburan sebaliknya boleh ‘meruntuhkan’ rumah tangga orang lain sekiranya ia benar-benar berlaku. Sebagai pendatang baru, ternyata peristiwa tersebut telah membawa Memey ke satu lagi kemelut yang amat berat ujiannya. Apatah lagi ia dikaitkan mempunyai hubungan dengan orang yang sudah ada keluarga dan anak-anak. Saya cuba juga untuk mendapatkan komen Abby dan Norman Hakim berhubung perkara itu tetapi SMS yang dikirim tiada balasan walaupun Norman ada berkata dalam sebuah akhbar tiada sesiapa yang menghubunginya untuk mendapatkan kesahihan berita itu. Yalah... saya faham kadang-kala mereka tak mahu diganggu apatah lagi bagi menjawab kemelut ini. Tetapi hendak atau tidak Abby dan Norman perlu berhadapan dengan kenyataan bagi merungkai segala persoalan agar ia tidak terus menjadi spekulasi. Tapi tak apa, saya mahu Memey sendiri membuka cerita mengenai masalah yang berlaku itu. Masakan pokok bergoyang jika tiada angin yang bertiup. Desas-desus hubungan Memey dan Norman sebelum ini pernah juga heboh diperkatakan. Tetapi Memey telah menjawabnya di dalam majalah-majalah serta akhbar hiburan sebelum ini yang mengatakan dia tidak pernah menjalinkan cinta dengan si dia. Gadis berusia 20 tahun ini berkata, dia tidak mahu merampas kebahagiaan sesiapa. Itu janjinya. Apatah lagi untuk meruntuhkan rumahtangga yang sudah dibina oleh seseorang sejak sekian lama. “Saya tak bercinta dengan Norman Hakim. Dia suami orang. Ia hanya cerita lama yang cuba dikorek semula,” ujar Memey menjawab persoalan itu. Bercerita bagaimana cerita itu boleh berlaku, Memey mempunyai pendapatnya yang tersendiri. Katanya, dalam dunia ini tidak semua orang mempunyai perasaan baik di antara satu sama lain. Maksudnya ada sahaja orang yang tak suka dan gemar mencipta cerita untuk tujuan sensasi ataupun bagi menjatuhkan seseorang. Dan gosip hubungannya itu adalah salah satu daripada cabang ujian hidupnya sebagai seorang pendatang baru. Ketika ditanya bagaimana dia mengenali aktor kacak itu ujar Memey, mereka dipertemukan dalam drama Pasrah terbitan Skop Production tidak lama dulu. Dari situlah dia mengenali Norman dan tentunya hubungan itu tidak lebih daripada seorang rakan yang sama-sama berkongsi produksi.

Bimbang hati Abby terguris

Apabila terlalu banyak dimomokkan dengan berita yang sedemikian rupa, tidak dinafikan hati Memey turut bimbang perasaan Abby Abadi akan terguris. Yalah, isteri mana yang tak naik angin jika suaminya dikaitkan dengan orang lain walaupun berita itu tidak ada pengesahannya. Tetapi dalam hal ini Memey berkata dia mampu menanganinya dengan baik dan tentu sekali berasa bertuah kerana Abby memahami keadaan itu. Dan tentu sahaja Abby tidak cemburu buta serta menerima berita berkenaan sebagai gosip murahan sahaja. Ujar Memey lagi dia pernah menghubungi Abby menjelaskan perkara berkenaan dan Abby memahami hakikat Norman memang tak mempunyai apa-apa hubungan istimewa dengannya. “Alhamdulillah Kak Abby tahu kisah itu sebenarnya tak betul. Saya sudah bercakap dengannya bagi menjelaskan perkara berkenaan,” ujar beliau. Tidak menafikan Memey turut dihantui perasaan bimbang kerana khuatir ada pihak yang akan terus membesar-besarkan perkara itu. Selain dikaitkan mempunyai hubungan, lebih daripada itu dia dikatakan sudah berkahwin dengan Norman dan tinggal serumah. “Kahwin memang tak betul. Saya masih single lagi,” tambahnya. Bukan sahaja dirinya yang gelisah tetapi keluarganya di kampung turut bimbang dengan kisah sensasi itu. Jelas Memey, ibunya turut bertanya kesahihan berita berkenaan tetapi kerana mereka juga sama sekali tidak mahu anak gadis mereka itu terlibat dengan perkara yang boleh mencemarkan nama baik keluarga. Tetapi selepas penjelasan diberi selain memaklumkan hakikat dunia hiburan tidak akan lari daripada berhadapan dengan gosip seperti itu, syukurlah keluarganya boleh menerima. Apa yang diinginkan oleh Memey, selepas penjelasan ini tidak ada lagi pihak yang cuba mengaitkan beliau dengan Norman kerana dia tidak mahu terus diheret dengan kemelut yang boleh mencetuskan perasaan kurang senang sesetengah pihak. “Saya harap selepas ini orang tak tanya lagi mengenai kisah tersebut. Saya mahu berterus terang yang saya dengan Norman tidak ada apa-apa hubungan dan kami tidak berkahwin sebagaimana yang didakwa,” katanya.

Mahu serius berlakon

Mula berjinak dalam dunia seni selepas diberi peluang oleh Darling Ngasri yang juga saudaranya, Memey berazam untuk terus berjaya dalam dunia lakonan. Selain dramanya Lara Rindu Mahsuri yang sedang ditayangkan di TV3 sepanjang Ramadan ini, Memey juga sibuk untuk menghabiskan 26 episod drama Impian Laili yang menemui penonton sekarang ini di RTM. Walaupun mengaku dia agak bertuah kerana belum sampai setahun sudah berpeluang memegang watak utama tetapi Memey juga seperti orang lain iaitu bermula dari bawah. “Saya pernah jadi pelakon pembantu sebelum diberi peluang untuk memegang peranan utama beberapa buah drama saya yang akan dan sudah melalui penggambaran. “Jadi tidak timbul saya ni anak emas atau kesayangan sesiapa hanya kerana saya diberi watak utama dalam tempoh yang singkat,” katanya Tidak menganggap dirinya sudah berjaya tetapi akui gadis ini antara faktor untuk seseorang itu berjaya, mereka perlu memperbaiki kelemahan diri setiap kali diberi apa juga peranan dalam sesebuah drama. Dalam masa yang sama pendatang baru sepertinya hendaklah menunjukkan komitmen yang tinggi dan menjaga disiplin agar disenangi oleh orang lain. SEDIA arif akan kariernya mampu musnah dengan sekelip masa sahaja jika tidak dijaga dengan baik, pelakon yang boleh dikategorikan sebagai masih hijau dalam arus seni tempatan, Memey, mengakui bahawa kontroversi adalah satu perkara yang paling digeruni. Bagi dirinya, kontroversi mampu menjejaskan keseluruhan kerjayanya sebagai seorang anak seni yang baru mahu merangkak. “Itu (kontroversi) yang paling saya takut. Saya baru saja nak mengenali dunia lakonan dengan lebih mendalam. Berilah saya peluang untuk mendalami dunia ini. “Selain itu, bukan setakat saya nak menjaga karier saya saja, tapi risau jika tempiasnya akan terkena pada keluarga,” katanya. Biarpun si empunya diri menyerlah sekali ketakutannya dengan kontroversi, namun sudah adat menjadi artis, Memey sendiri tidak terlepas apabila dikaitkan dengan gosip. Salah satu gosip ialah apabila ada pihak yang mendakwa dia menjalin percintaan dengan aktor Farid Kamil. Pantas Memey menegaskan, dia hanya mengenali Farid sebagai seorang pelakon popular dan mereka juga jarang bersua. “Saya kenal dia (Farid Kamil), tetapi tidaklah mesra seperti gosip-gosip yang diperkatakan itu. “Kami sekadar teman biasa saja. Tidak lebih daripada itu. Bukankah saya sudah kata, fokus saya buat masa ini adalah kepada karier ,” ujarnya. Tambah gadis yang berasal dari Johor ini, demi keselamatan dan juga tidak mahu terjerumus menjadi bahan umpatan masyarakat, Memey kini lebih selesa membawa adiknya, Nazreen Suhaimi, ke mana-mana saja bersama. Tujuannya ialah supaya Nazreen menjaga keselamatan Memey yang sentiasa pulang tak tentu masa.

Ingat jasa Darling

Tuah gadis ini diibaratkan seperti bulan jatuh ke riba. Masakan tidak, dalam jangka masa setahun lebih sahaja, namanya boleh dikatakan agak kukuh di industri yang penuh dengan cahaya glamor ini. Apalagi dengan segala tawaran berlambak datang kepadanya membuatkan dirinya tidak menang tangan dan terpaksa memilih yang terbaik. Bakat dan kecantikan tuan punya nama Suhaiza Suhaimi ini, cukup untuk dijadikan satu pakej lengkap yang boleh disalurkan kemana-mana bidang yang diinginkan. Dek kerana pakej itu juga, hari ini bidang peragaan, pengacaraan dan lakonan berada dalam genggamannya. “SHERRY, Norish dan Memey.” Lihat sahaja langkahnya bermula menapak dalam tele filem Rahsia Sebuah Pengorbanan, Pintu Syurga, Cinta Gadis Pengkit serta drama Elite, Graduan, Pasrah Syakira, Tragedi Oktober dan yang terbaru, drama Lara Rindu Mahsuri pula menjengah penonton di TV3. Semua ini dia kecapi tidak sampai dua tahun. Namun, dirinya tidak langsung bongkak dengan apa yang dimiliki malah dia belum puas dengan apa yang dilakukan. Bukan kerana tidak puas dengan rezeki yang diterima, sebaliknya Memey belum puas dengan kualiti kariernya. “Kalau boleh saya mahu menjadi yang terbaik antara yang terbaik,” begitu tinggi cita-cita gadis berusia 20 tahun ini. Satu perkara yang penulis kagum dengannya, Memey tidak pernah lupa tentang bagaimana dia telah tergelincir ke dunia lakonan. “Semua ini kerana Darling (Ngasri). Dia yang membawa saya sehingga ke tahap ini. “Walaupun saya hanya sempat berlakon beberapa buah telefilem dengannya, saya tak pernah melupakan Darling. Dialah pendorong utama saya,” tuturnya berterus terang. Kemudian, Memey mulakan tapak kariernya dengan sendiri. Dia mencuba nasib di produksi luar pula. Bermula di saat itu, kata-kata kurang enak mula didengar. Memey dikatakan seperti kacang melupakan kulit. Malah kini, Memey tidak lagi rapat dengan Darling seperti dulu. Ketika hal itu diajukan dengan pantas Memey memotong kata dan memberitahu bahawa mana mungkin dia dapat melupakan segala jasa-jasa Darling. “Jasa dia takkan saya lupakan sampai bila-bila. Saya juga hormat dia sebagai ibu saudara saya. Sekarang ini, saya terikat dengan drama-drama bersiri yang lain dan belum berkesempatan untuk berlakon drama atau telefilem baru dengan syarikat milik Darling. “Lagipun, ini yang saya dapat, rezeki masing-masing. Untuk tingkatkan kemahiran lakonan, saya perlu cuba bekerja di bawah pelbagai produksi bukannya hanya satu atau dua produksi sahaja,”ujarnya. Cuba mahu mengorek lagi tentang masalah hubungannya dengan Darling, Memey tidak mahu mengulas panjang. Takut meleret pula jadinya. “Sekarang ni, saya dengan Darling dah baik dan keakraban kami juga kembali normal. Saya tak mahu mengulas panjang tentang hal ini lagi. Saya pun menghormati permintaan dia supaya tidak bercerita tentang hal ini lagi. Yang lepas biarlah ia pergi. Tak perlu difikirkan lagi,” ujarnya ketika ditemui di majlis pelancaran drama bersiri terbaru Akukah Tanggang? dan Lara Rindu Mahsuri di Sunway Piramid baru-baru ini. Memey berlakon dalam drama Lara Rindu Mahsuri bersama dengan pelakon Norish Karman dan Sherry.

Mahu menjadi penulis skrip

Sebenarnya, bakat gadis jelita ini, lebih daripada apa yang disangkakan. Dia bukan sahaja berbakat dalam memperagakan fesyen, berlakon mahupun mengacara, bahkan gadis tinggi lampai ini berkebolehan dalam penulisan. “Mesti terkejut bila saya memberitahu minat saya. Tak ramai yang tahu tentang ini. Saya minat menulis sejak kecil lagi dan juga gemarkan novel yang lebih menceritakan mengenai motivasi diri,” tuturnya yang meminati penulis Rober Kiyosoki. Apa yang di inginkannya cuma satu, Memey mahu bergelar sebagai penulis skrip suatu hari nanti. Itulah objektif terbesarnya. “Jika diberi peluang, saya mahu menghasilkan skrip dalam masa tiga tahun ini. Dan sepanjang tempoh ini, saya akan kaji bagaimana cara penulisan skrip dihasilkan melalui lakonan yang saya bawa,” jelas si penggemar aksi dan gaya lakonan seniman Tan Sri P. Ramlee ini.



>
ArtisMelayu.net  |  Home  |  Link laman Artis  |  Forum Artis  |  Webmaster