|
Ahmad Nabil Ahmad, 28, Juara Raja Lawak 2, selamat diijabkabulkan dengan gadis pilihannya, Nazirah Ayub, 23, di Masjid Sultan Mizan, di Putrajaya pada hari Jumaat 30 September tepat jam 5.15. Mereka dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Putrajaya, Ustaz Mohd Redha Ahmad dengan berwali bapa pengantin perempuan, Ayub Hassan, 60. Selepas dua kali lafaz, Nabil sah menjadi suami Nazirah.
Pada majlis pernikahan itu, Nazirah menerima wang hantaran RM15,000, mas kahwin RM300 bersama tujuh dulang hantaran daripada Nabil. Nazirah turut menerima sebentuk cincin berlian, set wangian, al-Quran, telekung dan tasbih, kasut jenama Stuart Weitzman, set solekan Channel, tepak sirih dan peralatan komunikasi, BlackBerry Playbook. Nabil pula menerima sembilan dulang yang mengandungi sebentuk cincin, coklat, kasut, peralatan permainan siber Play Station 3 (PS3), iPad 2, sejadah/al-Quran, sirih junjung, buah-buahan dan kek.
Nabil dan Nazirah sudah berkenalan selama enam tahun dan rapat sejak enam bulan lalu. Nabil berkata yang dia sangat bersyukur dan gembira kerana hasrat mendirikan rumah tangga dan bergelar suami kepada Nazirah telah termakbul.
 | Saya memilih Nazirah sebagai teman hidup kerana terpikat dengan sikapnya yang lemah lembut, ramah, penyayang dan dia juga boleh `masuk' dalam kehidupan saya. Nazirah tak cemburu dan sangat memahami kerjaya saya sebagai artis. Biarpun, hubungan kami boleh dikatakan baru rapat, saya berkahwin dengan Nazirah kerana ikhlas. Sekian lama menunggu, seru mendirikan rumah tangga akhirnya tiba. Malah, bukan juga niat saya berkahwin untuk menutup kontroversi. Sebagai insan seni, saya tahu lumrah hidup artis yang tidak boleh lari daripada kontroversi. Namun, saya percaya dan yakin Nazirah memahaminya. Bahkan, saya akui sememangnya memilih pasangan hidup bukan di kalangan artis kerana lebih selesa. |
Nak anak dua tahun nanti
Nabil dan Nazirah merancang untuk mendapat cahaya mata dalam masa dua tahun. Kata Nabil buat masa ini, mereka mahu menjalani kehidupan sebagai suami isteri terlebih dahulu. Nabil buat lawakkah? Adakah 'kehidupan suami isteri' bermakna hidup sebagai suami isteri tanpa anak?
 | Kami merancang untuk ada cahaya mata pada tahun kedua perkahwinan nanti. Sekarang ini kami masing-masing mempunyai perancangan untuk kerjaya, Insya-Allah kalau boleh kami mahu tiga cahaya mata. |
Kata Nabil, dia dan Nazirah belum merancang untuk berbulan madu. Sebaliknya mereka akan menunaikan umrah bersama terlebih dahulu pada penghujung tahun ini.
Kata Nabil, Nazirah seorang yang peramah dan boleh serasi dengannya. Nazirah pula kata perkenalan mereka singkat (enam bulan) namun dia rasa yakin untuk dapat hidup bersama dengan Nabil. Nazirah kata dia percaya yang Nabil boleh menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Malah pada sepanjang perkenalan mereka, Nabil menunjukkan kesungguhan untuk hidup bersamanya.
Nazirah ialah bekas pramugari AirAsia. Dia merancang untuk membuka perniagaan butik pakaian selepas melepaskan jawatannya sebagai pramugari.
1 Okt 2011. Foto Harian Metro.
|
Nabil dan isteri
|