www.artismelayu.net    Laman Utama    Forum Artis

Penerbit filem dan penyanyi Noradzrin dipenjara
Penerbit filem, Datuk Adzhar Sulaiman, 56, dan dua anak perempuannya termasuk penyanyi, Noradzrin, dihukum penjara dan denda selepas disabitkan bersalah atas tuduhan menerima deposit berjumlah lebih RM100 juta tanpa lesen dan 360 tuduhan aktiviti pengubahan wang haram melibatkan RM59 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rozana Ali Yusoff memerintahkan Adzhar dihukum penjara dua tahun dan denda RM1 juta atau penjara 10 bulan bagi kesalahan mengambil deposit tanpa lesen manakala bagi kesalahan pengubahan wang haram dia dihukum penjara tiga tahun.

Anaknya, Noradzma, 35, yang merupakan ibu tunggal kepada seorang anak perempuan dihukum penjara setahun dan denda RM500,000 atau penjara enam bulan bagi kesalahan mengambil deposit tanpa lesen. Bagi kesalahan mengubah wang haram, Noradzma dipenjara dua tahun.

Seorang lagi anak Adzhar iaitu penyanyi, Noradzrin, 26, yang pernah merakamkan lagu Pujaan Malaya pula menghadapi hukuman penjara setahun selepas didapati bersalah atas tuduhan mengubah wang haram.

Syarikat Noradz Travel & Services milik Noradzma dan Noradzrin yang menjalankan perniagaan pelaburan, penyewaan kereta dan insurans turut dikenakan denda RM5 juta atas kesalahan menerima deposit tanpa lesen daripada orang awam.

Kesemua hukuman itu diperintahkan berjalan secara berasingan mulai 3 Oktober. Hakim membenarkan permohonan peguam bela, Afifuddin Mohd. Afifi untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan tetapi hukuman denda perlu dibayar hari ini. Hakim turut meminta tertuduh-tertuduh yang sebelum ini dibenarkan memberi cagaran RM500,000 bagi ikat jamin RM1 juta setiap seorang, membayar RM500,000 lagi untuk mengenapkan jumlah jaminan asal.

Dalam penghakimannya, Hakim berkata yang pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Pembelaan tertuduh kedua dan ketiga bersifat penafian semata-mata iaitu mereka mendakwa tidak tahu menahu mengenai perniagaan yang dijalankan oleh bapa mereka sedangkan keterangan membuktikan mereka mempunyai peranan aktif dalam hal ehwal syarikat. Hakim berharap hukuman tersebut akan menginsafkan mereka supaya kembali ke pangkal jalan.

Utusan Malaysia, 3 Oktober 2011

Adzhar SulaimanPenerbit Adzhar Sulaiman

Noradzrin AdzharPenyanyi Noradzrin

You all kenal ke Noradzrin ni? Kalau tak kenal, boleh usha Foto Galeri Noradzrin. Atau, masuk ke Facebook dia. Ada banyak orang komen di sana. Atau boleh juga lawati Blog dia.