www.artismelayu.net    Laman Utama    Forum Artis

Siti Saida tebus talak

Akhirnya tercapai juga hasrat kakak Siti Nurhaliza iaitu penyanyi Siti Norsaida Tarudin (Saida, 35) untuk bercerai dengan suaminya. Pada hari Jumaat 7 Okt, Saida sah bercerai talak satu selepas menebus talak (khuluk) dengan bayaran sebanyak RM1,000 kepada suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Ahli perniagaan Mohd Ghazali, 41, terpaksa menerima tebus talak tersebut selepas gagal mencari penyelesaian melalui tiga majlis hakam sebelum ini sejak setahun lalu. Dia menerima bayaran tersebut namun tetap enggan melafazkan lafaz cerai. Sebaliknya dia meminta wakil hakamnya (penimbangtara) untuk melafazkan talak tersebut. Mohd Ghazali kata dia seorang suami yang dayus jika menuruti permintaan Saida untuk diceraikan.

Mohd Ghazali juga menolak saranan yang diutarakan oleh Hakim Syarie Mohd Suhaily Rosdi supaya kedua-dua pihak bersalaman dan memohon maaf antara satu sama lain sebelum lafaz cerai dibuat. Mohd Ghazali berpendapat, itu semua tidak perlu. Tapi, Saida menuruti saranan Hakim dan terus menuju ke arah Mohd Ghazali serta menghulurkan tangan untuk bersalaman namun ia tidak disambut oleh suaminya.

"Sampai hati awak buat macam itu kepada saya," kata Mohd Ghazali manakala Saida hanya mendiamkan diri. Mohd Ghazali akhirnya akur dengan arahan Hakim dan Saida akhirnya berpeluang mencium tangan suaminya sebelum kembali semula ke tempat duduknya.

Wakil Saida kemudian menyerahkan wang tunai RM1000 kepada Mohd Ghazali. Namun Mohd Ghazali enggan menerima wang tersebut sebaliknya menyerahkan wang itu kepada mahkamah.

Ghazali tak mahu Saida buat tuntutan harta

Semasa prosiding sebelum itu Mohd Ghazali beberapa kali menegaskan bahawa dia tidak mahu Saida membuat sebarang tuntutan terhadap hak jagaan empat anak dan harta mereka, atas dakwaan perceraian itu disebabkan oleh kecurangan Saida. Hakim menasihatkan bekas jurutera kaji bumi itu untuk memfailkan permohonan baru di mahkamah untuk kes tersebut.

Mohd Ghazali bagaimanapun, dilihat masih tidak berganjak daripada pendirian itu selagi kemahuannya tidak dituruti meskipun dinasihatkan oleh Hakim. Kata Hakim, dia masih menghormati Mohd Ghazali dan tidak akan menghalaunya keluar daripada mahkamah. Berkenaan harta pula, Hakim kata mahkamah tiada masalah jika Saida (selaku plaintif) bersetuju dengan permohonan Mohd Ghazali itu. Tetapi kata Hakim adalah haram kalau dipisahkan ibu dengan anak-anak mereka dan mahkamah tidak akan membenarkannya. Saida ketika ditanya mengenai permintaan Mohd Ghazali mengakui dia tidak mempunyai bantahan jika semua hartanya diserahkan kepada suaminya, tetapi akan berasa sedih dalam hal yang melibatkan anak-anak.

15 tahun berkahwin

Mohd Ghazali dan Saida bernikah 15 tahun lalu pada 14 Disember 1996 di kampung halaman penyanyi itu di Kuala Lipis, Pahang dan dikurniakan empat anak, Siti Nuruunnyssa, 13, Anas, 11, Khalid, 7, dan Siti Nurul Mashitah, 4.

Kronologi perceraian

Saida memfailkan permohonan untuk bercerai pada 6 Oktober 2010 mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 atas alasan tiada persefahaman selain tidak ditahan dengan sifat suaminya yang menyakitkan hati dan mengongkong. Sebelum itu akhbar tempatan menyiarkan alasan lain Saida iaitu Mohd Ghazali mengongkong kerjayanya dan tidak menghormati arwah ayahnya (Allahyarham Tarudin Ismail meninggal dunia pada 15 Februari 2009 akibat serangan jantung).

Dalam mahkamah pada 18 Mac lepas, mahkamah juga dimaklumkan alasan lain Saida mahu dilepaskan adalah kerana Mohd Ghazali tidak menghormati arwah bapanya, Tarudin Ismail yang telah meninggal dunia pada 15 Februari 2009.

Saida curang, kata suaminya

Mohd Ghazali yang sebelum itu tidak begitu gemar membuka mulut mengenai masalah rumah tangganya, akhirnya bersuara pada 12 Mei lalu apabila mendakwa Saida sedang 'angau' dengan rakan sekerjanya bernama Hafiz Che Mat. Mohd Ghazali juga mendakwa, pernah berjumpa Saida dan lelaki itu di dalam sebuah kereta di Balakong, dan pernah membaca khidmat pesanan ringkas (SMS) perkataan sayang dan rindu pada telefon bimbit isterinya selain bil telefon menunjukkan mereka berbual dalam tempoh berjam-jam. Kata Mohd Ghazali, 'anasir luar itulah' yang telah menyebabkan Saida mahu bercerai dan bertindak keluar daripada rumah mereka di Alam Damai, Cheras.

Proses hakam tiga kali

Keengganan Mohd Ghazali menceraikan Saida juga menyebabkan mereka melalui proses hakam (macam tribunal agaknya) sebanyak tiga kali dan semuanya gagal mencari jalan penyelesaian dan berpendapat perkahwinan tersebut tidak boleh diselamatkan. Meskipun telah beberapa kali naik turun mahkamah, Mohd Ghazali tetap berkeras bahawa dia tidak akan melepaskan Saida dan berhasrat mahu membawa isterinya menunaikan umrah, bagaimanapun pelawaan itu ditolak oleh Saida. Saida tetap mahu bercerai. Kesian engkau, Mohd Ghazali.

7 Oct 2011

Siti SaidaSiti Saida Click to enlarge

Mohd Ghazali kata Saida angau